Welcome to Office of The Deputy Vice Chancellor (Academic & International), Universiti Sultan Zainal Abidin

Inquiries?

09-668 8414

Address

UniSZA, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu

Program Mercu (Flagship Programmes)

    Program Mercu 2019

      Festival Lestari Tradisi

      Festival Lestari Tradisi (LestraFest) telah diadakan pada 23-24 November 2019, bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Festival ini merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK). Aktiviti utama yang dijalankan dalam festival ini adalah Monsoon Run 2.0 dan Sayembara Pelestarian Puisi.

      LestraFest dianjurkan sebagai sebuah platform aktiviti bersama masyarakat dan warga UniSZA. Monsoon Run 2.0 merupakan larian yang bertemakan tradisional, adalah acara larian yang unik yang menetapkan peserta perlu memakai pakaian berunsur tradisional. Lokasi aktiviti juga dihiasi dengan elemen-elemen batik serta permainan tradisional seperti teng-teng, congkak dan lain-lain. Persembahan tarian tradisional daripada kumpulan Warisan Sari turut diadakan.

      Sayembara Pelestarian Puisi melibatkan dua jenis pertandingan iaitu deklamasi sajak dan penulisan puisi. Pertandingan deklamasi sajak telah mendapat 20 penyertaan dari kategori institusi pengajian tinggi dan kategori terbuka. Manakala, 58 peserta telah menyertai pertandingan menulis sajak untuk kategori institusi pengajian tinggi, kategori terbuka dan kategori antarabangsa. Finalis-finalis bagi pertandingan deklamasi sajak telah mempersembahkan sajak pilihan mereka di Majlis Penutup LestraFest 2019.

      Majlis Penutup LestraFest 2019 juga turut dihadiri oleh Sasterawan Negara, Dato’ Seri A. Samad Said sebagai tetamu kehormat. Beliau telah dilantik oleh pengurusan tertinggi UniSZA sebagai Sasterawan di Universiti. Beliau turut mendeklamasikan salah satu sajak karyaan beliau berjudul Tetamu Senja untuk tatapan hadirin yang hadir. Nur Aziean Abdullah dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah menjuarai pertandingan deklamasi puisi kategori institusi pengajian tinggi manakala Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh telah merangkul gelaran juara untuk kategori terbuka.

      Ucapan pada Majlis Penutupan Lestra Fest 2019, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan telah menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen serta kesungguhan para peserta dan penganjur dalam memartabatkan elemen kesusasteraan dalam kehidupan seharian. Malah, beliau turut menzahirkan ribuan terima kasih kepada YB. Dr. Maszlee bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia kerana mencetuskan idea Sasterawan di Universiti kerana dengan tercetusnya inisiatif tersebut, para pelajar di institusi pendidikan tinggi dapat didedahkan dengan teknik serta rasa kecintaan terhadap puisi dan sastera melayu.

      Program seumpama ini mampu melestarikan kesusasteraan dan kebudayaan dalam masyarakat khususnya generasi muda. Pihak FBK akan terus menganjurkan pelbagai aktiviti dalam pemerkasaan bidang bahasa seiring dengan misi dan visi fakulti serta universiti.

      Dato_Seri_A.Samad_Said_for_Lestra_Fest_2019-1000.jpg Kumpulan_Warisan_Sari-1000.jpg

      Program Khidmat Masyarakat ‘Home Medication Review’ 2019 (Siri 2)

      Pada 13 Julai 2019 (Sabtu) yang lalu, Fakulti Farmasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat ‘Home Medication Review’ 2019 di beberapa buah kampung sekitar Dun Kota Putera, Besut, Terengganu.

      Penganjuran program kali kedua ini adalah hasil maklum balas positif serta kejayaan penganjuran pada tahun 2018. Seramai 30 orang pesakit di beberapa lokasi yang berbeza telah dilawati meliputi Kampung Tembila, Kampung Pekan Sari, Kampung Baru Batu Tumbuh, Kampung Sri Nangka, Kampung Kubang Ikan dan Kampong Gong Bayor melibatkan seramai 16 petugas yang terdiri daripada wakil agensi Kerajaan dan Swasta termasuklah Hospital Besut, Klinik Kesihatan Jabi, Klinik Kesihatan Jerteh, Klinik Kesihatan Padang Luas, Klinik Kesihatan Kampung Raja, Klinik Kesihatan Seri Medang, Farmasi Ibnu Sina, Farmasi Pharmacoplus, Farmasi Ammar Medicare serta MPKK Tembila, Pekan Sari, Sri Nangka, Gong Bayor, Kubang Ikan dan Kg. Baru Batu Tumboh.

      Program yang bermula seawal 8.30 pagi ini dimulai dengan taklimat awal oleh Pengarah Program, seterusnya disusuli dengan majlis perasmian dan pelepasan pasukan 'Home Medication Review' (HMR) yang disempurnakan oleh oleh Dekan FF, Prof. Dr. Ab. Fatah Ab. Rahman. Pasukan HMR yang dibahagikan kepada enam pasukan bergerak secara berasingan ke rumah-rumah pesakit yang telah dikenal pasti oleh pihak MPKK. Melalui lawatan ini, pesakit dan penjaga diberi penerangan yang betul mengenai kaedah penggunaan ubat yang betul, keadah penyimpanan ubat-ubatan, jangkamasa/tempoh penyimpanan ubat dan sebagainya.

      Fokus utama pasukan HMR ini adalah untuk mendekati pesakit dengan lawatan rumah ke rumah dalam usaha untuk berkongsi maklumat mengenai penggunaan ubatan secara selamat sekaligus memberikan kefahaman dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pesakit mengenai penggunaan ubat-ubatan secara selamat dan seterusnya mendekatkan FF bersama komuniti melalui program kebajikan dan kemasyarakatan.
       

      Semoga penganjuran program ini menjadi pemangkin kepada FF untuk mempromosikan program FF di UniSZA di samping mendekatkan FF bersama komuniti melalui program kebajikan dan kemasyarakatan.

      hmr1-1000.jpg hmr2-1000.jpg

      Program “FRIT - Flagship Service Learning @Felda Kerteh 2” (DEKAT2019)

      Program ini dilaksanakan pada 10 hingga 12 Disember 2019 bertempat di Rancangan FELDA Kerteh 1 dan 2, Bandar Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu. Seramai 80 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian dan Diploma Teknologi Pembuatan telah mengikuti program ini.

      Program ini bertujuan untuk mendekati dan membantu komuniti FELDA menerusi sumbangan kepada pelajar TADIKA di Rancangan FELDA. Pelajar telah diberi tugasan utama membina beberapa fasiliti indoor dan outdoor yang bersesuaian untuk digunakan oleh pelajar untuk meningkatkan kecekapan fizikal, jasmani dan pembangunan intelek mereka. Di samping itu, beberapa aktiviti lain turut dilaksanakan bagi mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dengan penduduk FELDA seperti program anak angkat, lakaran mural di TADIKA, aktiviti gotong-royong dan keceriaan, senamrobik, futsal dan pertandingan masakan berasaskan ubi.

      79998153 10159051278984097 2365467884110479360 o 1000 80080775 10159051276049097 1054540962249834496 o 1000

      Program Flagship Karnival Pemakanan Sihat

      Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah berjaya menganjurkan program Flagship Karnival Pemakanan Sihat. Program ini telah dijalankan melalui empat sesi iaitu pada 17 Oktober 2019, 24 Oktober 2019, 3 November 2019 dan 11 November 2019 yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan (Kepujian) yang mengambil kursus Community Nutrition Project (NDN 40304) seramai 23 orang. Pensyarah seramai tiga (3) berfungsi sebagai fasilitator bagi perjalanan program. Peserta program pula terdiri dari kalangan pelajar sekolah menengah sekitar Kuala Nerus seramai 216 orang dari 11 buah sekolah. Uniknya, kesemua peserta program Flagship ini adalah dipilih oleh pihak sekolah dari kumpulan keluarga dengan pendapatan rendah (Kumpulan B40). Senarai sekolah yang telah terlibat adalah seperti berikut :

      • SMK Kompleks Seberang Takir (n=48)
      • SMK Kompleks Gong Badak (n=15)
      • SMK Kompleks Tembesu (n=20)
      • SMK Batu Rakit (n=17)
      • SMK Mengabang Telipot (n=13)
      • SMK Bukit Guntong (n=18)
      • SMK Ibrahim Fikri (n=19)
      • SMK Bukit Tunggal (n=15)
      • SMK Padang Kemunting (n=15)
      • SMK Tengku Mizan Zainal Abidin (n=17)
      • SMKA Dato Haji Abbas (n=19)

      Melalui kursus ini pelajar diperkenalkan kepada lapangan komuniti di mana mereka perlu menganalisis faktor sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran yang memberi kesan kepada status pemakanan komuniti. Seterusnya pelajar telah mengenalpasti masalah pemakanan pada komuniti terpilih melalui beberapa proses sebelum merancang program pendidikan pemakanan melalui program Flagship Karnival Pemakanan Sihat. Di akhir program, pelajar telah menilai keberkesanan program yang telah dijalankan.

      FSK 1 FSK 3

      Program Jalinan Perpaduan Menuju Sifar Bersama Komuniti Cakna Terengganu

      Fakulti Sains Sosial Gunaan telah menganjurkan Program ‘Jalinan Perpaduan Menuju Sifar Bersama Komuniti Cakna Terengganu’ sempena Sambutan Hari HIV/AIDS Sedunia. Program ini merupakan satu program ke arah meningkatkan keberanian, kepimpinan, penerapan motivasi, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan, memantapkan nilai-nilai kemanusiaan dan amalan yang mulia serta usaha ke arah menjayakan semangat kerjasama dalam masyarakat tanpa mengira perbezaan golongan.

      Program ini telah diadakan di Komuniti Cakna Terengganu (KCT), Kampung Pelandan, Hulu Terengganu dan aktiviti yang dijalankan memberi kesan positif kepada semua pelajar Kerja Sosial khususnya pelajar Kerja Sosial tahun 3 yang akan melakukan latihan industri pada semester 8 dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar setelah bergraduat kelak.

      Program Ini melibatkan 3 fasa iaitu pre-program pada 26 November 2019 di Dewan Auditorium Perpustakaan UniSZA yang dilaksanakan dengan mengadakan ceramah berkaitan HIV dan AIDS. Fasa kedua adalah program utama yang diadakan di Komuniti Cakna Terengganu (KCT) di Kampung Pelandan Hulu Terengganu pada 1 Disember 2019. Fasa terakhir yang merupakan post-program yang diadakan di Mydin Gong Badak pada 7 Disember 2019.
      HARI AIDS SEDUNIA STUDENTS

      Registration of Companies & Partnership and Regulatory of SSM

      Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA) dengan Kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Cawangan Terengganu telah berjaya menganjurkan program Registration of Companies & Partnership and Regulatory Function of SSM pada 23 September 2019 bertempat di Dewan Perdana UniSZA.

      Program tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar yang mendaftar kursus berkaitan Company Law mengenai Pendaftaran Perniagaan dan Pemerbadanan Syarikat serta menerangkan fungsi dan peranan SSM di Malaysia.

      Program yang bermula pada jam 9.00 pagi itu dimulakan dengan ucapan aluan oleh wakil FUHA iaitu Dr. Aminuddin bin Mustaffa, Timbalan Dekan (Akademik & Siswazah) dan disusuli dengan penerangan berkaitan SSM oleh Encik Wan Ahmad Lokman bin Wan Abu Hanipah. Ketua Seksyen Operasi, Pejabat Cawangan SSM Terengganu. Pada penghujung program, pihak SSM telah menyediakan kaunter khas bagi pendaftaran syarikat secara percuma kepada warga UniSZA yang berminat. Program setengah hari itu berakhir pada jam 2.00 petang dan seramai 500 orang pelajar FUHA serta pelajar daripada fakulti lain telah menyertai program tersebut.

      SSM 1000x666 SSM3 1000x666
      SSM2 1000x666 

      Contact Us

      Pejabat Timbalan Naib Canselor
      (Akademik & Antarabangsa)
      Universiti Sultan Zainal Abidin
      Kampus Gong Badak
      21300 Kuala Nerus
      Terengganu Darul Iman

        09-668 8485
        09-668 7889
        ptncaa@unisza.edu.my
      logo3d left40 Tahun UniSZA utama

      Location

      Follow Us